SHAH ALAM 22 Julai - Kerajaan negeri dicabar supaya mendedahkan hasil kajian syarikat perunding yang dilantik kerana memberi fakta salah mengenai kedudukan bekalan air di Selangor.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, ini kerana fakta yang diberi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa Selangor mempunyai bekalan air mencukupi sehingga 2019 itu tidak benar sama sekali.
Ini kerana, kata beliau, berdasarkan kajian yang dibuat kerajaan negeri pada tahun 1998 dan 1999, kawasan Lembah Klang sememangnya akan berdepan krisis air pada tahun 2012 hingga 2014.
Menurutnya, kajian itu dilakukan syarikat perunding dilantik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bersama dua lagi syarikat perunding masing-masing dilantik oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).
"Mengikut kajian itu, bekalan sumber air tidak mencukupi bagi menampung permintaan yang dijangka meningkat pada 2012 hingga 2014.
"Sebab itu kerajaan negeri sebelum ini berunding dengan Pahang untuk menyalurkan bekalan air dari negeri itu ke Selangor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.




