KUALA LUMPUR 25 Julai – Seramai tujuh juta pengundi muda akan menjadi faktor penentu dalam keputusan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.
Bagaimanapun, kajian terbaru oleh Makmal Pemuda BN telah memberi wawasan tentang pemikiran golongan pengundi muda dengan kebanyakan mereka mengambil pendirian non-partisan (tidak memihak) berhubung politik negara.
Berikutan majoriti golongan belia bukan penyokong mana-mana parti, kajian itu mendapati tiga daripada lima pengundi muda atau 62 peratus daripada mereka masih ‘duduk atas pagar’ mengenai parti pilihan mereka.
Hasil kajian ke atas kira-kira 1,000 responden dari seluruh negara itu serta cadangan dasar telah disampaikan oleh Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas.




